Archive for ‘STAY-AT-HOME-MOM (SAHM)’

January 6, 2012

Surirumah Yang Bekerja / Tidak Bekerja

by Yati Yusof

Minggu lalu saya berkesempatan membaca dialog dibawah di dalam sisipan seorang rakan di facebook:

Kaunselor : Apakah pekerjaan Encik Zainal?
Encik Zainal : Saya bekerja sebagai Akauntan di sebuah Bank.

Kaunselor : Halimah pula?
Encik Zainal : Dia tidak bekerja. Hanya suri rumah sahaja.

Kaunselor : Tiap-tiap pagi siapa yang sediakan sarapan pagi?

Encik Zainal : Halimah yang sediakan sebab dia tak kerja.

Kaunselor : Pukul berapa Halimah bangun untuk sediakan sarapan??
Encik Zainal : Pukul 5 pagi dia bangun kerana saya akan keluar bekerja pada pukul 6.30 pagi.
Kaunselor : Anak-anak encik Zainal ke sekolah bagaimana??

Encik Zainal : Halimah yang hantar sebab dia tidak bekerja.

Kaunselor : Selepas hantar anak-anak, Halimah buat apa?
Encik Zainal : Pergi ke pasar, kemudian balik rumah untuk memasak dan kemas rumah. Halimah kan tak bekerja.

Kaunselor : Petang hari selepas Encik Zainal balik rumah, apa yang Encik Zainal lakukan?
Encik Zainal : Balik berehat, kerana seharian saya penat bekerja.

Kaunselor : Apa Halimah buat?
Encik Zainal : Sediakan makanan, melayan anak, mengemas dan dia juga mengambil upah menjahit. Dia menjahit sehingga lewat malam kerana dia tidak bekerja.

Berdasarkan cerita di atas, anda rasa siapa yang lebih banyak bekerja?? Rutin seharian Halimah bermula dari sebelum Subuh sehingga lewat malam, itu juga dikatakan TIDAK BEKERJA??

Suri rumah memang tidak perlukan segulung ijazah atau pangkat yang besar, tetapi peranan suri rumah sangat penting!!! p/s : hargai isteri anda…..

Tersenyum saya membacanya. Tak tahulah samada ini kisah benar atau rekaan semata. Hakikatnya memang ramai yang berfikiran sebegini. Sehinggakan di kalangan surirumah sendiri pun kadang kala terpacul juga di mulut yang dia tidak bekerja apabila ditanyakan apakah pekerjaan beliau. Kita dah terbiasa dengan istilah ‘bekerja’ yang merujuk kepada pekerjaan yang beroleh pendapatan yang kebiasaannya dibawah seliaan orang lain.

Saya musykil… agaknya ada tak surirumah yang tidak bekerja? Hmm… mungkin juga ada. Seorang surirumah yang bersuamikan orang kaya agaknya. Kerja2 rumah boleh serahkan pada pembantu rumah. Transport anak ke sekolah boleh gajikan seorang driver atau paling cokia pun naik van sekolah. Tak perlu susah payah cari duit tambahan dengan menjahit baju malam2 macam Puan Halimah. Orang selalu kata ala tai-tai gitu… duduk rumah asah kuku.

Alhamdulillah suami saya bukan seperti Encik Zainal. Bagi mereka2 yang dikurniakan suami yang bukan seperti Encik Zainal, hargailah suami anda…. gembirakan dan bahagiakanlah dia selalu :). Oooopss tapi bukanlah maksud saya mereka2 yang senasib dengan Puan Halimah tak perlu hargai suami. Sebagai isteri, kita tetap kena jalankan tanggungjawab kita kepada suami dan taat kepada mereka asal kehendak mereka tak menyimpang dari suruhan agama. Jika ada perkara2 yang tidak disenangi pada suami, doalah banyak2 agar suami diberikan hidayah dan dibukakan hatinya untuk berubah…

SELAMAT TAHUN BARU 2012 buat semua. Saya perlu lebih mahir dalam percaturan dan penggunaan masa  untuk hari2 seterusnya. Semoga Allah berkati dan redhai apa yang saya lakukan… Amin.

Quote: “Rugilah bagi mereka yang hari ininya sama seperti semalam, tercela bagi mereka yang hari ininya lebih buruk dari semalam dan beruntunglah bagi mereka yang hari ininya lebih baik dari semlaam” — dgr dari IKIM FM, merujuk kepada amalan kita seharian. Mari sama2 perbaiki diri kita setiap hari.

May 23, 2011

(Aargghhh… tak sempat masak lagi…) Macamana nak jadi ‘sempat masak’

by Yati Yusof

Sindrom tak sempat masak ni terjadi bukan sahaja kepada ibu2 bekerja, malah boleh juga melanda stay-at-home mom lebih2 lagi jika mereka juga menyandang status work-at-home mom. Ini ada beberapa tips untuk anda sempat memasak dirumah walaupun ketika masa yang suntuk (tapi kalau malas nak masak lain cerita ye 🙂 ). Masak lah resepi yang mudah2…

1. Kupas bawang banyak2 dan simpan stok seminggu dalam peti sejuk. Bila nak masak senang…. ambil jer beberapa biji yang diperlukan.

2. Sesiapa yang selalu guna cili kisar dalam masakan, elok sangatlah kisar banyak2 sekali gus dan simpan dalam peti sejuk juga (penuh laaa peti hikmat…). Resepi untuk cili kisar yang tahan lama: kisar cili kering, bawang putih dan garam sikit (bawang merah jangan… tambah bawang merah masa nak masak nanti). Masukkan dalam bekas (tidak bertutup) dan simpan dalam peti sejuk. Kalau bertutup, nanti bekas akan berair dan ini mempercepatkan cili kisar jadi tak elok dari segi rasa. – Tips dari adik ipar yang diturunkan oleh mak mertua dia :). Tqvm.

3. Plan menu masakan untuk seminggu… jadi tak jadi masak belakang kira. Yang penting niat dah ada. Bila dah plan, bahan2 utama untuk resepi tu dah boleh standby dalam peti sejuk. Keluar beli bahan2 pun sekali aje dalam seminggu, jimat masa dan tenaga, malah lebih ekonomi.

4. Letakkan bahan2 mentah seperti ayam, daging atau ikan yang beku ke dalam ‘chill room’ peti sejuk anda malam sebelum bahan2 itu hendak di masak. Cepat sikit proses defrost.

5. Anda boleh juga masak satu2 resepi (yang berasaskan ayam, ikan atau daging sahaja. Sayur tidak sesuai) itu dalam kuantiti yang banyak. Kemudian apabila lauk tadi sudah sejuk, asingkan kepada beberapa portion (agak2 untuk sekali makan) ke dalam bekas plastik tahan beku dan bekukan ke dalam freezer. Bila2 tak sempat masak boleh la gunakan lauk beku ini… tapi kena defrost dan panaskan dulu sebelum makan. Perlu diingatkan, lauk ini mestilah lauk yang baru dimasak, iaini lauk yang belum disentuh lagi… kalau lauk baki yang tak habis tak digalakkan buat macam ini kerana nanti bila reheat, rasa tak fresh… tak sedap. Ditakuti kena keracunan makanan pula. (Kaedah ini diperkenalkan oleh ibu saudara saya. Dia gelarkan lauk begini ‘lauk purba’ 🙂 )

6. Pastikan bahan2 asas bagi masakan2 mudah yang anda dan keluarga gemar makan sentiasa ada stok, seperti telur, sardin, udang, timun dll.

7. Sediakan ayam (bahagian dada), udang dan sotong yang sudah dibersihkan dan diasing2kan dalam kuantiti yang sedikit di dalam peti beku anda. Bahan2 yang sikit2 ni boleh dijadikan rencah dalam masakan mudah seperti nasi gorang, mee goreng atau lauk2 mudah lain. Bila kita simpan asing2 sikit2, senang nak keluarkan dan cepat defrost. Maka cepatlah kita memasak.

Kalau anda ada tips2 yang lain, boleh la share dengan saya juga ye…

February 21, 2011

Sambungan dari ‘Dilema nak berhenti kerja atau tidak’

by Yati Yusof

 

Keputusan ini bukan main2 kerana ia akan memberi kesan yang besar kepada keluarga anda. Oleh itu sebelum meneruskan niat, fikir dan timbanglah semasak2nya kelebihan & kekurangan keputusan yang bakal diambil. Antara perkara2 yang perlu anda fikirkan dan bincang dengan pasangan:

1. Kenali diri anda sebelum membuat keputusan. Mengapa anda mahu menjadi surirumah sepenuh masa?

INGAT: menjadi sahm bukanlah mudah. Malah ianya lebih memenatkan jika dibandingkan kerja2 dipejabat sekiranya anda tidak mahir didalam hal2 menguruskan masa, menguruskan aktiviti harian serta kaedah2 mengurus rumah yang cepat, pantas dengan hasil yang baik. Untuk menjadi seorang surirumah yang berjaya ilmu perlu ada. Pastikan anda bersedia untuk menghadapi saat2 sukar dan mahu belajar dalam mencari jalan penyelesaian, bukannya mengalah, terus menerus stress dan akhirnya kecewa.

2. Kenali suami anda.

Adakah dia seorang yang kedekut? Jika ya, fikirlah masak2 dan banyak kali. Jangan sampai makan hati bila dah berhenti kerja nanti. Ini bukan nasihat yang positif sebenarnya :). Jika suami anda kedekut, pastikan anda bekerja di rumah (work-at-home-mom=wahm) bukan setakat sahm sahaja. Cari peluang2 yang ada untuk menjana pendapatan sampingan.

Adakah suami anda ringan tulang di rumah? Jika ya, anda harus bersyukur banyak2. Pastikan sifat ini berterusan walaupun anda surirumah sepenuh masa. Ini harus ditekankan kepada suami. Ada masanya anda juga perlu masa untuk diri sendiri. Jangan sampai mengabaikan diri sendiri apabila memilih untuk berada di rumah. Ketrampilan serta kesihatan diri perlu dijaga. Jangan lupa ‘Me-Time’ di dalam jadual harian atau mingguan anda.

3. Buat list kebaikan / kelebihan dan keburukan / kekurangan jika anda berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa. Buat perbandingan… bahagian mana yang lebih panjang list? Cuba fikirkan alternatif atau jalan keluar atau perkara yang anda patut buat untuk menjadikan fakta ‘keburukan’ itu menjadi tidaklah seburuk mana sekiranya anda benar2 ingin berhenti kerja. Pendapat peribadi saya, jika list keburukan /kekurangan lebih panjang daripada list kebaikan, lebih baik anda terus bekerja sahaja.

  • Contoh (1) cara2 nak atasi faktor2 didalam list ‘kekurangan’

Kekurangan:  Bila berhenti kerja anda tidak akan dapat gaji bulanan. Adakah ini bermakna anda tidak dapat berbelanja untuk keperluan diri sendiri lagi / tak akan merasa ada duit sendiri langsung?

Jalan keluar: Buat perjanjian dengan suami agar dia memberi elaun bulanan kepada anda. Misalannya RM1000 potongan tetap dari gajinya terus ke dalam akaun anda setiap bulan. (mungkin jumlah ini tidak sebanyak gaji bulanan anda, tetapi percayalah bahawa jumlah ini sebenarnya cukup untuk membiayai keperluan wajib anda eg. bayar pinjaman pengajian (jika ada…), bagi ibubapa, simpanan etc. Kata kunci: jangan bermewah2…)   

  • contoh (2)

Keburukan: Orang sekeliling anda mungkin akan mengeluarkan kenyataan2 negatif yang menyakitkan hati atau mungkin juga menggoyahkan pendirian anda.

Jalan keluar: BERSIAP SEDIALAH!!! Anda memang akan mendengarnya. Tetapkan hati anda. Sekiranya sahm adalah keputusan anda, bulatkan hati dan jangan berpaling lagi. Jauhi kata2 “KALAULAH AKU….”. Mula2 anda mungkin akan berasa hati dan sedih. Lama2 anda akan lali…. dan insyaAllah anda akan lebih berkeyakinan sekiranya anda berusaha dan berfikir yang positif2 sahaja. Anda tidak perlu menjawab atau membidas kata2 orang. Kadang kala diam dan senyum sahaja adalah lebih baik.

4. Faktor kewangan keluarga. Anda harus dan wajib berbincang sedalam-dalamnya hal ini dengan suami anda.

  • buat kiraan terperinci duit masuk dan duit keluar bagi keluarga setiap bulan. Saya akan berikan contoh worksheet yang boleh digunapakai untuk membuat kiraan ini di post yang lain. Kenal pasti gaji bulanan yang anda suami isteri dapat dan dihabiskan untuk apa. Selepas itu, kenal pasti juga wang gaji anda (bukan gaji suami) banyak dihabiskan untuk apa. Berapa peratuskah daripada gaji anda digunakan untuk perbelanjaan keluarga?
  • buat list perbelanjaan yang boleh dikurangkan sekiranya anda berada dirumah eg. perbelanjaan pengasuh, van sekolah, transport anda ke tempat kerja, makan anda di tempat kerja, belanja sekolah anak2 (sebab boleh bawa bekal), tuisyen (mungkin anda boleh mengajar anak2 anda sendiri) dll.
  • tahukah anda bahawa walaupun pendapatan seisi rumah berkurangan, perbelanjaan rumah juga dapat dikurangkan sekiranya anda tidak bekerja. Jadi sebenarnya anda tidak harus sampai ikat perut dan hidup semakin susah. Kata kunci: Perbelanjaan perlulah berhemah. Jika kita ikhlas dan redha dengan apa yang kita ada, insyaAllah anda tidak rasa kekurangan dan tersepit. Rezeki dari Allah swt bukan dalam bentuk wang semata.

5. Apakah goal anda di dalam hidup (jangka panjang dan jangka pendek)? Jadikan goal ini sebagai sesuatu untuk dikejar dan dicapai. Walaupun berada di rumah, jangan biarkan diri anda tenggelam di dalam kerja2 rumah yang tiada penghujungnya itu. Ambil masa untuk belajar skil2 dan ilmu2 baru. Dalami hobi dan ilmu2 yang anda tak berkesempatan buat semasa bekerja dahulu. Skil2 dan hobi2 boleh membantu anda menjana pendapatan sampingan. Selain daripada itu, apabila anak2 sudah besar, aktiviti sedemikian tidak akan membiarkan diri dan otak anda pasif.

SEMOGA BERJAYA KEPADA ANDA SEMUA !

February 15, 2011

Dilema nak berhenti kerja atau tidak?

by Yati Yusof

Isu kali ini berkait rapat dengan post sebelumnya. Ini adalah proses permulaan bagi seseorang yang benar2 mempunyai niat untuk bertukar kerjaya, dari seorang yang makan gaji kepada seorang ibu yang berada di rumah menguruskan keluarga (stay-at-home-mom = sahm). Soalan ini sememangnya menyesakkan kepala. Biar saya buatkan list dan brainstorm sikit2 untuk anda. Mana nak tau ianya boleh membantu mengurangkan sesakan lalu lintas di benak dan kepala mu itu.

Faktor yang membuat ramai wanita bekerja takut menjadi sahm:

  • Masalah kewangan mungkin berlaku selepas berhenti kerja. Ye lah, kalau suami isteri bekerja, ada dua pendapatan. kalau isteri tak bekerja, pendapatan tinggal satu. Duit untuk kegunaan seisi rumah semakin sedikit la maknanya (hakikatnya tidaklah selalunya begitu. Mengapa saya katakan tidak? persoalan ini akan dihuraikan kemudian). Boleh survive ke??
  • Tidak dapat pegang duit sendiri lagi. Kalau nak beli apa2 semua kena mintak pada suami dulu. Bukan setakat minta duit sahaja ye, kena minta izin juga. Kalau tak dapat approval, terkulat2 lah kita….
  • Takut hilang identiti….. kalau bekerja, wanita ada pegang title lain selain dari ibu dan isteri. Perasaan ini meningkatkan keyakinan diri sesetengah wanita.
  • Bagi yang mempunyai kelayakan (ada degree atau lebih tinggi dari itu), mungkin akan berasa sayang untuk melepaskan gaji dan kedudukan yang ada ditempat kerja setelah bekerja keras bukan sahaja dari segi masa, malah juga wang untuknya.
  • Hidup kurang ‘selamat’ bila tidak bekerja?? Ya, ramai yang berasa tidak selamat jika isteri bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami (memang benar pun…). Apa akan jadi jika suami meninggal dunia atau berlaku perceraian (mintak dijauhkan la ye…)?
  • Tak sanggup nak dengar cemuhan orang sekeliling terutamanya dari orang2 terdekat seperti dari keluarga sendiri atau saudara mara. Kata2 biasa…. “penat aje belajar tinggi2…. lepas tu duduk rumah jaga anak” atau sekadar “rugiiinyaaa!”.

Ok, cukuplah tu…. tak perlu banyak2, nanti lagi sesak dada :). Macamana nak keluar dari dilema ini? Jawabnya, kenalah buat keputusan, buat pilihan…. macamana nak buat keputusan? huhuh takutnya nak menanggung risiko….. Saya akan cuba bagi idea macaman nak buat keputusan ini di post yang lain. Daaa…..

January 27, 2011

Stay-at-home-mom (sahm)??

by Yati Yusof

Stay-at-home-mom @ homemaker @ housewife @ surirumah , tak kira apa jua istilah yang diguna pakai, bidang kerjanya adalah sama. Dipendekkan cerita, saya sudah merasa bekerja ‘makan gaji’ dan tidak ‘makan gaji’ (surirumah sepenuh masa dan merima elaun bulanan 🙂 Alhamdulillah… terimakasih suamiku.). Hingga kini, hati saya masih belum terbuka untuk kembali makan gaji dan menyertai dunia korporat. 

Betul tak kalau saya katakan biasanya ramai yang menggambarkan seorang surirumah saling tak tumpah rupa keadaannya macam dalam gambar di sebelah? Heeee sungguh mengerikan!! Sentiasa sibuk dengan kerja rumah yang tidak pernah berpenghujung, diri sendiri yang kurang terurus, stress, comot dan sebagainya… tahukah anda bahawa anda ada pilihan untuk tidak menjadikan diri anda sebegini rupa? Jangan jadikan surirumah sebagai last resort option anda kerana ada banyak kepuasan yang bakal anda perolehi dari kerjaya ini sekiranya anda lakukan ia dengan keadaan sedia, punyai wawasan hidup, ilmu pengurusan masa dan kerja yang baik.

Pengorbanan wanita yang telah memilih untuk menjadi sahm bukanlah sedikit. Harapnya teman sekatil sedar akan hakikat ini dan penghargaan serta fahaman yang setimpal diberikan kepada rusuk kirinya itu. Sesungguhnya pulangan yang bakal diperolehi tidak dapat digambarkan dengan kata2 sekiranya tugasan ini dijalankan dengan penuh ikhlas dan redha.

InsyaAllah blog ini bukanlah untuk mempengaruhi semua wanita2 bekerja untuk berhenti kerja (kerana saya suka dan kagum dengan wanita2 di luar sana yang berjaya di dalam karier mereka), tetapi sekadar berkongsi pengalaman dengan mereka2 yang ada niat untuk menceburi bidang ini agar mendapat sedikit panduan. Dalam masa yang sama saya juga berharap agar isu2 yang bakal dipaparkan dapat memberi motivasi buat wanita2 yang sudah selamat menjawat jawatan ini. Selain daripada itu, harapan saya mereka2 yang bukan stay at home mom atau kaum adam sekalipun sudi membaca coretan saya untuk mengisi masa senggang anda dan memahami dunia kami. Teruskan bersama saya……..